Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta
yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut
bumi.
Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian
tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala
yang tersembunyi.
Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah!
Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu
cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan.
"Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan
masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan.
"Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak
beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan
binasa.
Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan,
dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku,
dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu".
"Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka
biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu
dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang
orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
"Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang
memungutmu:" Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya?"
Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya
dan supaya ia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu; dan semasa engkau
membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau dari kesusahan pembunuhan
itu; dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan;
kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun dalam kalangan penduduk
negeri Madyan; setelah itu engkau sekarang datang dari sana pada masa yang telah
ditentukan, wahai Musa!
"Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu dan
janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku.
"Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian katakanlah: "Bahawa
sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani
lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami
telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat
sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk ugama Allah.
"Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia dan di
akhirat ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling
daripadanya".
Nabi Musa menjawab: "Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap
sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi
petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya".
Nabi Musa menjawab: "Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, tertulis di
dalam sebuah Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan Ia juga tidak pernah lupa".
(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia
telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah
menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis
tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.
Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu;
sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan
Allah, bagi orang-orang yang berakal fikiran.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah tunjukkan kepada Firaun segala tanda-tanda
yang membukti kekuasaan Kami; dalam pada itu ia mendustakannya dan enggan
beriman.
"Kalau demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti
itu untuk melawanmu! Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami
denganmu, yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang
sesuai bagi kedua belah pihak".
Nabi Musa berkata kepada mereka: "Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa
secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Ia akan membinasakan kamu
dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan
kecewa".
Mereka berkata: "Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak
mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan
kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama.
"Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai
dalam satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang
menang pada hari ini".
Nabi Musa menjawab: "Bahkan kamulah campak dahulu". Tiba-tiba tali-tali mereka
dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda
berjalan, disebabkan sihir mereka.
"Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala
(benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka
lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan
beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada".
(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir
mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera
merebahkan diri sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus
Nabi Harun dan Nabi Musa".
Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin
kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu.
Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan
bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi
sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras
azab seksanya dan lebih kekal".
Mereka menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang
telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak
akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu,
hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau
hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.
"Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya
kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami
melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan
pahalaNya.
"Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia
bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di
dalamnya dan tidak pula hidup.
"Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan
amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang
tinggi darjatnya:
"(Iaitu) Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka
kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang
membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat".
Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau
membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar memgembara pada waktu malam, kemudian
pukulah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi
mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh
musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam".
Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan
orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan
cara yang sedahsyat-dahsyatnya.
Wahai Bani lsrail! Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu, dan
Kami telah janjikan kamu (dengan memberi wahyu kepada Nabi Musa) di sebelah
kanan Gunung Tursina itu, dan kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa",
Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan
kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang
demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu,
maka sesungguhnya binasalah ia.
Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat
serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang
diberikan kepadanya.
Nabi Musa menjawab: "Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; dan
aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku".
(Setelah selesainya urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa:
"Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu,
dan mereka telah disesatkan oleh Samiri"
Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita; ia
berkata: "Wahai kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu
perjanjian yang baik? Patutkah kamu merasa panjang masa pemergianku menerima apa
yang dijanjikan itu? Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan
dari Tuhan kamu, lalu kamu menyalahi perjanjian kamu denganku?"
Mereka menjawab: "Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan
ikhtiar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan
orang-orang (Mesir) itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami
melakukan yang demikian, maka demikianlah juga "Samiri" mencampakkan apa yang
dibawanya.
"Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu
(patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata:
"Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!"
Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung
itu tidak dapat menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan
bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?
Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu:
"Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan
sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu,
ikutlah daku dan taatlah akan perintahku".
Mereka menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung
ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada
kami".
Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan
janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan
berkata kepadaku: ` Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama
sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! ' "
Ia menjawab:" Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka,
lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku
mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku".
Nabi Musa berkata kepada Samiri: "Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir
dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam
kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ', dan sesungguhnya telah dijanjikan
lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas
daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama
menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur
dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.
Demikianlah Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian dari
kisah-kisah umat manusia yang telah lalu; dan sesungguhnya Kami telah memberikan
kepadamu, dari sisi Kami (sebuah Kitab Al-Quran yang menjadi) peringatan.
(Allah berfirman): Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka katakan
itu, manakala orang yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula:
"Tiadalah kamu tinggal melainkan satu masa yang amat singkat".
Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal
gunung-ganang; maka jawablah: "Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup
angin.
Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak
dapat melencong dari menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah
yang melimpah-limpah rahmatNya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi
yang amat perlahan.
Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapapun) kecuali dari
orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmatNya, dan kepada orang
yang diredai perkataannya.
Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (dari hal-hal dunia), dan apa yang
di belakang mereka (dari perkara akhirat); sedang mereka tidak mengetahuinya
secara meliputi.
Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap Hidup,
lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya; dan sesungguhnya telah rugi
dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman.
Dan sesiapa yang mengerjakan sebarang apa dari amal-amal yang soleh, sedang ia
beriman, maka tidaklah (seharusnya) ia merasa takut dianiaya atau dikurangkan
sedikitpun dari pahalanya.
Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab,
dan kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat
manusia seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu
peringatan dari faedah mereka.
Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada
segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca
Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan
berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku".
Maka, Kami berfirman: "Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi
isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga,
kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.