(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka
mengatakan: "Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya".
(Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar
dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada
kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran
sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.
Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara
keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan
beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu
tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?
Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia
menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat
naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu
untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah)
banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.
Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya.
Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal
fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.
Dan mereka (yang kafir) itu berkata: "Adakah apabila kami telah hilang lenyap
dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu?
Betulkah demikian? " (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula)
bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.
Katakanlah (wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang
ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan
dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)".
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu
menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina,
sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan
sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami
ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang
telah yakin".
Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah
tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh
kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya
Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum
masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi
telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka
Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha
untuk beriman dan beramal soleh)".
(Lalu dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab
seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak
hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang
kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".
Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami
hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan
ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat
patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan
mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana
mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa
kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan
perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula
mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.
Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah
dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang
dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah
kerjakan.
Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh
Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah
kerjakan.
Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka;
tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan
kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: "Rasalah azab neraka yang kamu
sentiasa mendustakannya di dunia dahulu".
Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia
sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali
bertaubat.
Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan
ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap
mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat
(sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah
engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat itu
hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum
masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam
menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.
(Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu
sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat,
mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah
binasakan berapa banyak dari kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka,
padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum
itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan
(untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?
Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya
Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan
dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh
binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak
mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?
Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tidak perlu diketahui masa datangnya tetapi mesti
dipercayai bahawa) pada hari pembukaan bicara itu, tidak ada gunanya lagi kepada
orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman, dan mereka pula tidak akan
diberi tempoh (berbuat demikian)".