Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di
langit dan yang ada di bumi, dan bagiNyalah juga segala puji di akhirat; dan Dia
lah sahaja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
Ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya, dan apa
yang turun dari langit serta apa yang naik kepadanya; dan Dia lah jua yang Maha
Mengasihani, lagi Maha Pengampun.
Dan orang-orang yang kafir berkata:" Hari kiamat itu tidak akan datang kepada
kami". Katakanlah (wahai Muhammad): "Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku yang
mengetahui segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang
kepada kamu". Tiada tersembunyi dari pengetahuanNya barang seberat debu yang ada
di langit atau di bumi, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu atau yang lebih
besar melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.
(Kedatangan hari kiamat itu) supaya Tuhan membalas orang-orang yang beriman dan
beramal soleh; mereka itu akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.
Dan (sebaliknya) orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat
keterangan Kami sambil menyangka dapat melepaskan diri (dari hukuman Kami), -
mereka itu akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan, mengetahui (dengan yakin, bahawa
keterangan-keterangan) yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (mengenai hari
kiamat dan lain-lainnya) itulah yang benar serta yang memimpin ke jalan Allah
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.
Dan orang-orang yang kafir pula berkata (sesama sendiri secara mengejek-ejek):
"Mahukah, kami tunjukkan kepada kamu seorang lelaki yang memberitakan kepada
kamu: ` (Bahawa apabila kamu dihancurkan sehancur-hanurnya sesudah mati),
sesungguhnya kamu akan dihidupkan semula dalam bentuk kejadian yang baru? '
"Adakah ia berdusta terhadap Allah, atau ia kena penyakit gila?" (Tidak ada
satupun) bahkan orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat tetap beroleh
(di sana) azab seksa yang seburuk-buruknya dan (di sini) tetap berada dalam
kesesatan yang jauh terpesong.
(Setelah mereka mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan itu) tidakkah mereka
melihat apa yang ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka dari
langit dan bumi (dapatkah mereka melarikan diri)? Jika Kami kehendaki nescaya
Kami timbuskan mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka ketul-ketul dan
serpihan-serpihan dari langit (yang akan membinasakan mereka). Sesungguhnya yang
demikian mengandungi satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap hamba
Allah yang mahu kembali kepadanya (dengan taat dan berbakti).
Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari
Kami (sambil Kami berfirman): "Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap
tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah
bersama-sama dengannya)!" Dan juga telah melembutkan besi baginya;
(Serta Kami wahyukan kepadanya): "Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan
sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (wahai
Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala
yang kamu kerjakan".
Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk
perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan,
dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami
alirkan baginya matair dari tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin
untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa dari jin itu yang
menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api
neraka.
Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari
bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan
yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya.
(Setelah itu Kami perintahkan): "Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk
bersyukur!" Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang
bersyukur.
Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang
menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai)
yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada
golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib
nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang
menghina.
Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang
membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua
kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di
sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari
rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah)
negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha
Pengampun!.
Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang
membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu
dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan
pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.
Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya
Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang
amat kufur.
Dan - di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di
daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), -
Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang
melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar
yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada
mereka): " Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu
suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman".
(Maka kamakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu
berkata: "Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah
bandar dengan yang lain)", dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri;
lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai,
serta kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang
tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap
seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.
Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu
mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak
terpedaya kepada hasutannya).
Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka,
melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah
yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu
terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap
sesuatu.
Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah makhluk-makhluk
yang kamu dakwakan sebagai tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa
seberat debu pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang bahagian
perkongsian (dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi,
dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka".
Dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah
diizinkan Allah, (maka orang-orang yang hendak memohon syafaat terpaksa menunggu
izin itu dengan penuh perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan
Allah perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu) bersukarialah
mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: "Apakah yang telah dititahkan
oleh Tuhan kamu?" Sebahagian di antara mereka menjawab: "Tuhan telah menitahkan
kebenaran"; dan Dia lah jua Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar
kekuasaanNya.
Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Siapakah yang
memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?" Terangkanlah jawabnya: "Ialah
Allah; dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli
tauhid atau golongan kamu ahli syirik - (tidak sunyi daripada salah satu dari
dua keadaan): keadaan tetapnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam
kesesatan yang jelas nyata ".
(Oleh itu) katakanlah (wahyu Muhammad): "Kamu tidak akan bertanggungjawab
tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab
tentang apa yang kamu kerjakan".
Katakanlah lagi:" Tuhan kita akan menghimpunkan Kita semua (pada hari kiamat),
kemudian Ia akan menyelesaikan perselisihan yang ada di antara kita dengan
penyelesaian yang benar; dan Dia lah jua Hakim yang seadil-adilnya, lagi Yang
Maha Mengetahui segala-galanya".
Katakanlah lagi: "Tunjukkanlah kepadaku sifat-sifat ketuhanan yang ada pada
makhluk-makhluk yang kamu hubungkan dengan Allah sebagai sekutu-sekutuNya. Tidak
ada pada sesuatu makhluk pun sifat-sifat itu, bahkan yang mempunyai sifat-sifat
ketuhanan ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia
seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang
beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).
Jawablah (wahai Muhammad): "Untuk kamu disediakan satu hari yang kamu tidak
dapat melambatkannya sesaat pun, dan tidak pula kamu dapat menyegerakannya".
Dan orang-orang yang kafir berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada
Al-Quran ini dan tidak juga kepada Kitab-kitab ugama yang terdahulu
daripadanya". Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang
zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing
tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang tertindas berkata
kepada orang-orang yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya): "Kalaulah tidak
kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi orang
yang beriman".
Orang-orang yang sombong takbur itu menjawab kepada orang-orang yang tertindas:
Kamikah yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia
datang kepada kamu? (Bukan kami yang menghalang) bahkan kamulah yang menyebabkan
diri sendiri menjadi orang-orang yang berdosa".
Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong
takbur itu: "Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah)
perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami
berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya
masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka
melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang
kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.
Dan Kami tidak mengutus kepada sesebuah negeri: seseorang Rasul pemberi amaran
melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata:
"Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya".
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi
sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang
dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).
Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan
kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa
yang mereka telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai
(di Syurga) dengan aman sentosa.
Dan orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan
Kami sambil menyangka dapat melepaskan diri (dari hukuman Kami), mereka itu akan
berada di dalam azab seksa.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi
sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang
menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan
menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki".
Dan (ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat),
kemudian Ia bertanya kepada malaikat: "Adakah orang-orang ini, (kamu setujui)
menyembah kamu dahulu?"
Malaikat menjawab: "Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu).
Engkaulah (yang kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami bukan mereka.
(Tidak ada hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka
kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula
percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi)".
Maka pada hari ini, masing-masing di antara kamu tidak berkuasa memberi sebarang
manfaat kepada kawannya, dan tidak pula dapat menolak sesuatu bahaya
daripadanya; dan Kami katakan kepada orang-orang yang zalim (yang berlaku
syirik) itu: "Rasalah azab neraka yang kamu dahulu mendustakannya".
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata,
berkatalah mereka (sesama sendiri): "Orang ini (Muhammad) tidak lain hanyalah
seorang lelaki yang hendak menghalang kamu daripada menyembah apa yang telah
disembah oleh datuk nenek kamu"; dan mereka berkata lagi: (Al-Quran) ini tidak
lain hanyalah kata-kata dusta yang direka-reka"; dan berkatalah orang-orang yang
kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka: "ini tidak lain
hanyalah sihir yang terang nyata".
Dan (tidak ada sebarang alasan bagi dakwaan mereka, kerana) Kami tidak pernah
memberi kepada mereka Kitab-kitab untuk mereka membaca dan mengkajinya, dan Kami
juga tidak pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad) seseorang
Rasul pemberi amaran (melarang mereka menerima ajaranmu).
Dan (ketahuilah bahawa) umat-umat yang terdahulu sebelum mereka telah juga
mendustakan (Rasul-rasulnya), sedang mereka (yang mendustakanmu) itu tidak:
mencapai satu persepuluh (dari kekayaan, kepandaian dan kekuatan) yang Kami beri
kepada umat-umat yang terdahulu itu; setelah umat-umat itu mendustakan
Rasul-rasulKu (mereka pun dibinasakan). Dengan yang demikian perhatikanlah
bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu (menimpa mereka).
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan
satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari
kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang
lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya
(untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)". Sebenarnya tidak ada pada
(Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang
dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu
ditimpa azab yang berat (di akhirat).
Katakanlah (wahai Muhammad): "Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku
sebagai upah maka faedahnya tetap terpulang kepada kamu; balasan yang menjadi
upahku yang sebenar hanyalah dari Allah, dan Ia sentiasa Memerhati serta
Menyaksikan tiap-tiap sesuatu".
Katakanlah lagi: "Sesungguhnya TuhanKu, menurunkan wahyu (kepada Nabi-nabi
pilihanNya) dengan perkara yang benar; Ia sentiasa Mengetahui akan segala
perkara yang ghaib".
Katakanlah lagi: "Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala
kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia,
usahkan hendak mengulanginya di akhirat".
Katakanlah lagi: "Sekiranya aku sesat maka bahaya kesesatanku akan menimpa
diriku sendiri, dan jika aku beroleh hidayah petunjuk maka yang demikian
disebabkan apa yang telah diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku; sesungguhnya Ia Maha
Mendengar, lagi Maha Dekat".
Dan (sungguh ngeri) jika engkau melihat (keadaan orang-orang yang bersalah itu)
ketika mereka gelisah takut (menyaksikan azabnya) serta mereka tidak mendapat
jalan mengelaknya, dan mereka pun diambil dari tempat mereka berada (untuk
dibawa ke tempat azab).
Dan (pada ketika itu) mereka berkata: "Kami sekarang beriman kepada kebenaran
yang di bawa oleh Nabi Muhammad (s.a.w)"; (apa jalannya) dan bagaimana caranya
mereka dapat mencapai iman dari tempat yang jauh?
Pada hal mereka telah mengingkarinya sebelum itu, dan mereka pula selalu
melemparkan tuduhan-tuduhan buta terhadap kebenaran itu dari tempat yang jauh?
(sudah tentu salah).
Dan disekatlah di antara mereka dengan (iman) yang mereka ingini, sebagaimana
yang telah dilakukan kepada orang-orang yang sama keadaannya dengan mereka pada
masa yang lalu; sesungguhnya mereka dahulu berada dalam keadaan syak yang
meragukan.