"Maka adakah ini sihir juga (sebagaimana yang kamu katakan terhadap keterangan
Rasul Kami dahulu?), atau kamu tidak nampak (kenyataannya sebagaimana kamu tidak
nampak di dunia dahulu akan kebenaran Rasul Kami)?
"Rasalah bakarannya; kemudian sama ada kamu bersabar (menderita azabnya) atau
tidak bersabar, sama sahaja (tidak ada faedahnya) kepada kamu, kerana kamu tidak
dibalas melainkan dengan apa yang kamu telah kerjakan".
(Dan dikatakan kepada mereka): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang
lazat serta baik kesudahannya, dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".
Mereka duduk berbaring di atas pelamin-pelamin yang berderet; dan Kami jadikan
kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik
matanya.
Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan
keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan
mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari
pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang
dikerjakannya.
Mereka di dalam Syurga itu (kerana melahirkan kemesraan antara satu dengan yang
lain): berebut-rebut mengambil piala yang berisi arak yang tidak menyebabkan
timbul (dari peminumnya) perkara yang sia-sia dan tidak pula menyebabkan
(peminumnya menanggung) dosa.
Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang sentiasa beredar di sekitar
mereka, (yang cantik parasnya) seolah-olah anak-anak muda itu mutiara yang
tersimpan dengan sebaik-baiknya.
Mereka berkata: "Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga
kami - selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah),
"Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembahNya (dan memohon pertolonganNya).
Kerana sesungguhnya Dia lah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsanNya, lagi Yang
Maha Mengasihani".
Maka hendaklah engkau (wahai Muhammad) tetap tekun memberi peringatan (dengan
ajaran-ajaran Al-Quran yang diturunkan kepadamu, dan janganlah dihiraukan
golongan yang ingkar), kerana engkau dengan nikmat Tuhanmu (yang dilimpahkanNya
kepadamu itu) bukanlah seorang pawang dan bukan pula seorang gila.
(Mereka menuduh Nabi Muhammad dengan yang bukan-bukan), bahkan mereka
mengatakan: "(Muhammad) itu seorang penyair yang kami tunggu-tunggu saat
kebinasaannya".
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tunggulah kamu (akan apa yang kamu tuduh itu),
maka sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang menunggu bersama-sama kamu
(akan apa yang dijanjikan oleh Allah Taala)".
Adakah mereka disuruh oleh akal fikiran mereka melemparkan tuduhan-tuduhan yang
sedemikian itu, atau sememangnya mereka suatu kaum yang melampaui batas (dalam
keingkaran dan kedegilannya)?
(Bukan sahaja mereka ingkar dan degil) bahkan mereka berkata: "Dia (Muhammad)
telah mereka-reka Al-Quran itu". (Tuduhan mereka yang demikian tidak berasas)
bahkan mereka sengaja tidak mahu beriman!
(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang
fasih dan indah) seperti Al-Quran itu, jika betul mereka orang-orang yang benar
dakwaannya.
Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan
mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah
mengakuinya).
Adakah pada tangan mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi
atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa
mentadbirkan segala-galanya?
Adakah mereka mempunyai tangga (untuk naik ke langit), yang dengannya mereka
dapat mendengar (apa yang diperintahkan dan ditetapkan oleh Allah? Jika ada)
maka biarlah orang mereka yang mendengar itu membawa sesuatu bukti yang
menyatakan kebenarannya.
Pernahkah engkau (wahai Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka
(mengenai ajaran Islam yang engkau sampaikan), lalu mereka merasa berat
menanggung bayaran itu (sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)?
Adakah pada sisi mereka (Lauh Mahfuz yang mengandungi) perkara-perkara yang
ghaib, lalu mereka menyalin (daripadanya untuk menentang ajaran dan
peringatanmu)?
(Mereka tidak cukup dengan kata-kata dan tuduhan-tuduhan yang buruk sahaja)
bahkan mereka hendak melakukan rancangan jahat (terhadapmu wahai Muhammad;
tetapi mereka tidak akan berjaya) kerana orang-orang yang kafir itulah yang akan
ditimpa balasan rancangan jahatnya.
(Apabila datangnya balasan rancangan jahat itu maka) adakah bagi mereka Tuhan
(yang dapat menyelamatkan mereka) selain dari Allah? Maha Suci Allah dari apa
yang mereka sekutukan itu.
Dan kiranya mereka melihat sepotong besar dari langit gugur (untuk menimpa
mereka), mereka akan berkata: "(Itu adalah) awan yang bertompok -
berlapis-lapis!"
(Kalau keingkaran dan kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah
mereka (wahai Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui hari
yang padanya mereka akan binasa -
(Iaitu) hari segala rancangan jahat dan tipu daya mereka tidak dapat
mendatangkan sebarang faedah kepada mereka, dan mereka pula tidak diberikan
pertolongan.
Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain dari azab
yang tersebut, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang
sebenarnya).
Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu
(memberi tempoh kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat
dalam pemuliharaan serta pengawasan Kami; dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu
semasa engkau bangun.