Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada
menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari
keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan
Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk)
melepaskan diri dari sumpah kamu (dengan membayar denda - kaffarah); dan Allah
ialah Pelindung yang mentadbirkan keadaan kamu, dan Ia Maha Mengetahui, lagi
Maha Bijaksana.
Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah
seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan
rahsia yang tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan
rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan
kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan
yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah Nabi
menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: "Siapakah yang memberi
tahu hal ini kepada tuan? " Nabi menjawab: "Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha
Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya (tentang segala perkara yang nyata
dan yang tersembunyi) ".
Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah
yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada
perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk
(melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan
berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril
serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan
malaikat-malaikat - juga menjadi penolongnya.
Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya
isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, - yang menurut perintah, yang
ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa,
- (meliputi) yang janda dan yang anak dara.
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari
neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu
dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka
tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka,
dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
Malaikat itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka):
"Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan
meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat). Kamu hanyalah
dibalas dengan balasan apa yang kamu telah kerjakan".
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat
Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan
memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada
hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama
dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka
dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika
orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami!
Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami;
sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik,
serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah
neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada
manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin
selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi
Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba
yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam
pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami
mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan
kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua
(pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama
orang-orang yang masuk (ke situ)".
Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada
mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir
kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia
berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga,
dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta
selamatkanlah daku dari kaum yang zalim";
Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa
seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari
disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak)
maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh
(ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia
mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi
dari orang-orang yang tetap taat.