Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari
Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak)
bertaqwa;
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan
(mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari
rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan
kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu,
serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada
mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran,
mereka tidak akan beriman.
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta
pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka
pula disediakan azab seksa yang amat besar.
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad
dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula
akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka
berdusta (dan mendustakan kebenaran).
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan
kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang
hanya membuat kebaikan".
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang
itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana
berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah
orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: "
Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka,
mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami
hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk;
maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk
hidayah.
Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang
menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah
hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam
gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).
Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit,
bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke
dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati.
(Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah
meliputi orang-orang yang kafir itu.
Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka;
tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan
dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu
dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya
pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan
kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi
orang-orang yang) bertaqwa.
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta
segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya
air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis
buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi
Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan
Yang Maha Esa).
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada
hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang
sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh
menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat
membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan
bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan
untuk orang-orang kafir.
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;
tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga
itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan
mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan
disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang
sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk
hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya),
iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa
perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka
mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya):
Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan
menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan
menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;
(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah
diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya
diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi.
Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.
Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum
lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian
Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan
kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia
menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh
langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku
hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat
ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak
menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan),
padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan
berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya,
kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah
kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".
Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai
pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau
jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada
mereka". Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka,
Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku
mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu
nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?".
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat)
kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis;
ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan
makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan
janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan
menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim".
Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan
menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya
dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada
sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi,
serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan
taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah,
Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika
datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang
diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya
tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka
pula tidak akan berdukacita".
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan
kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku
sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu
merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).
Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan
benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang
mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan
ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit
faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan
diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu
berakal?
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan
sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada
orang-orang yang khusyuk;
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada
kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang
taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).
Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya
seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari
balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil
daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi
sebarang pertolongan.
Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya,
yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka
menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu;
sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar
dari Tuhan kamu.
Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana
melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami
tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.
Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat
kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia
pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang
zalim (terhadap diri sendiri).
Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan
keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang
benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.
Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku!
Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah
patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu;
iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah
yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia
lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani".
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman
kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala
kami)". Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.
Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir)
dan Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman):
"Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu".
Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi
sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.
Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: "Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian
makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja
yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah
diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ' Ya Allah ampunilah dosa kami ';
supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala
orang-orang yang berbuat baik".
Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah
kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami
turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan
sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka
Kami berfirman: "Pukulah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), lalu
terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak
(di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami
berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah
kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi".
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah
jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk
kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari
sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang
dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar
sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke
bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu". Dan mereka
ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat
kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur
(mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang
membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada
alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan
mereka pula sentiasa menceroboh.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang
Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman
kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi
mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami
angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): "Terimalah Taurat
yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan
bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya,
supaya kamu bertaqwa.
Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak
menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas
kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu
dari golongan orang-orang yang rugi.
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang
di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman
kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi
orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan
suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah
menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah
engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku
berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil
(yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".
Mereka berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya
kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya
Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu
tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka
kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".
Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah
berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua
warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya".
Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya
lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan
kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu
itu)".
Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang
dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak
tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram
tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". Mereka
berkata: "Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang
sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir
mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.
Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu
tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap
melahirkan apa yang kamu sembunyikan.
Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu
yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup).
Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan
kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.
Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih
keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air
sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu
keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah
kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa
yang kamu kerjakan.
(Sesudah kamu - wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang
kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa
mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal
sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah
(Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka
memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?
Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan
orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Kami telah beriman"; dan apabila
mereka berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: "Patutkah kamu ceritakan kepada
mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada
kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk
menjadikannya hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu?
Tidakkah kamu berakal?"
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak
mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari
ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan
sahaja.
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka
(lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka
berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat
membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka
disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka
dari apa yang mereka usahakan itu.
Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka
kecuali beberapa hari yang tertentu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu
sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi
janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu
mengetahuinya?"
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat
kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah
ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani
Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan
berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim,
serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia
perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat".
Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali
sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak
menghiraukan perjanjian setianya.
Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa)
janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan
janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing".
Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri
pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).
Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan
kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling
bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa
dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan,
kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu.
Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab
Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi
orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika
hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa
yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang
kamu lakukan.
Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan
kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa
kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa
mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.
Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami
iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada
Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan
Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang
Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu
(dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu
kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: "Hati kami tertutup (tidak dapat menerima
Islam)". (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan
mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang
beriman.
Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Quran), yang
mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu
sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan
kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa
yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka
mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang
yang kafir ingkar itu.
Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli
kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan
oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu)
kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad
s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah
bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang
menghinakan.
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu kepada apa yang telah
diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)", mereka menjawab: "Kami hanya
beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)". Dan mereka
ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal
Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi
Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?".
Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa
keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu
sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.
Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami
angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): "Ambilah (dan
amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan
bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan
mematuhinya)". Mereka menjawab: "Kami dengar, dan kami menderhaka". Sedang
kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati
mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):" Amatlah
jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang
beriman".
Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): "Kalau syurga negeri akhirat itu
telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh
dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka
cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu
orang-orang yang benar".
Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya,
dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui
akan orang-orang yang zalim itu.
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak
manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup
itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka
kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak
akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah),
Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana
Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang
mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan
sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada
orang-orang yang beriman".
Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan
memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan
Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh
bagi orang-orang kafir.
Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat
keterangan yang jelas nyata (Al-Quran), dan tidak ada yang akan mengingkarinya
melainkan orang-orang yang fasik.
Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali
mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan dari
mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman.
Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad
s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang
yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka,
seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).
Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang
dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal
Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan
tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana
merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua
malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak
mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata:
"Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu
janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga
orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan
antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama
sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun
melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang
hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi
sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang
memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat.
Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka,
kalaulah mereka mengetahui.
Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan
mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik,
kalau mereka mengetahui.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: "raaina", (ketika
kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: "unzurna", dan
dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah,
bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.
Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka
kiranya diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan
kamu Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami
tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya,
atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam
langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat
melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.
Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi
Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil
kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus.
Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka
dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang
timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi
Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka),
sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang
kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat
balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang
kamu kerjakan.
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk
Syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian
itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah
kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan
itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan
dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik
amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita.
Dan orang-orang Yahudi berkata: "Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu
pegangan (ugama yang benar)"; dan orang-orang Nasrani pula berkata: "Orang-orang
Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)"; padahal mereka
membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang
(musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti
yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara
mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi
dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah
di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?
Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu
melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang
mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di
dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.
Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan
diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah;
sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa
Mengetahui.
Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: "Allah mempunyai anak". Maha Suci
Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala
yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan
apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman
kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia.
Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: "Alangkah
eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau
datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?" Demikian pula orang-orang
(kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh
mereka; hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur).
Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil
dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran,
(serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan
pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan
semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.