(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari
Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya,
supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang
ingkar), dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.
(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan
kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang
lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan".
Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami
menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah
hari.
Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka,
melainkan mereka (mengakui dengan) berkata: "Sebenarnya kami adalah orang-orang
yang zalim".
Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan
(Rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul
itu.
Kemudian sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (Rasul-rasul dan
umat-umatnya), dengan (berdasarkan) pengetahuan (yang meliputi akan apa yang
mereka lakukan), dan sememangnya Kami tidak sekali-kali ghaib (bahkan sentiasa
Mendengar, Melihat dan Mengetahui akan hal ehwal mereka).
Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah
orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim
terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya).
Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan
Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu
bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu,
kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam",
lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang
sujud.
Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku
perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan)
jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."
Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau
berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari
golongan yang hina".
Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat
(maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari
menjalani) jalanMu yang lurus;
"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka,
dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati
kebanyakan mereka bersyukur".
Allah berfirman: "Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina
serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah
aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;
"Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah
dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu
hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari
orang-orang yang zalim".
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya
(dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama)
tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu
melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka)
kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal
(selama-lamanya di dalam Syurga)".
Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan)
dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada
mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan
daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah
melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan
itu adalah musuh kamu yang nyata?"
Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami
sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada
kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".
Allah berfirman: "Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi
musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di
bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)".
Allah berfirman lagi: "Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati, dan
daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari
kiamat)".
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu
(bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan
pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah
dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya)
supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia
telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan
terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat
mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat
kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami
telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak
beriman.
Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu
perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami
mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan
yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak
mengetahuinya?"
Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh
supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada
tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan
amal ugama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan
kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya).
Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi
taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar)
berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana
sesungguhnya mereka telah menjadikan Syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang
ditaati) selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam
petunjuk hidayah.
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap
kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta
minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan
orang-orang yang melampaui batas.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan
Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga
benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah:
"Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga
yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya
tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah
Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang
(mahu) mengetahui.
Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang
keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan
perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya)
kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang
bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap
Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.
Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang
tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat
pula mereka didahulukan.
Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu
yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa yang
bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya
kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh
(merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal
di dalamnya.
Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau
yang mendustakan ayat-ayatNya. Orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka (di
dunia) dari apa yang telah tersurat (bagi mereka), hingga apabila datang kepada
mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang mengambil nyawa mereka, bertanyalah
malaikat itu (kepada mereka): "Manakah (makhluk-makhluk dan benda-benda) yang
kamu sembah selain Allah?" Mereka menjawab: "Semuanya itu telah hilang lenyap
daripada kami", dan mereKa pula menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri,
bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.
Allah berfirman: "Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang
terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk,
mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua
berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang
pertama di antara mereka: "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah
menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda
dari (azab) neraka". Allah berfirman: "Kamu masing-masing disediakan (azab
seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui".
Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan
yang akhir (pengikut-pengikutnya): "(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak
ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami". (Allah berfirman): "Oleh itu
rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan".
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang
angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan
dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga
sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang
yang melakukan kesalahan.
Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka
lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami membalas
orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh - (dengan tidak menjadi
keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan
kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, - merekalah ahli Syurga,
mereka kekal di dalamnya.
Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam
Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan
mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang
telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami
tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami
(dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan
membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah Syurga yang diberikan kamu
mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".
Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah
mereka kepada ahli neraka dengan berkata: "Sesungguhnya kami telah dapati apa
yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah
kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya
betul?". Mereka menjawab: "Benar ada". Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di
antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: "Bahawa laknat Allah tertimpa ke
atas orang-orang yang zalim".
Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut
jalan Allah, dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang
mereka pula tidak percayakan hari akhirat.
Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok "Al-A'raaf "(yang menjadi)
pendinding, dan di atas tembok Al-A'raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki
yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan
tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam,
katanya): "Salaamun Alaikum" (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka,
sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.
Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa
dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama
orang-orang yang zalim".
Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A'raaf menyeru beberapa orang
(Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: "Nampaknya
kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa
yang kamu sombongkan dahulu - tidak dapat menolong kamu".
(Mereka bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): "Itukah
orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak
akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): ` Masuklah
kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak
baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita. ' "
Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka
menyeru ahli Syurga (dengan berkata): "Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air
atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu". Mereka
(ahli Syurga) menjawab: "Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas
orang-orang kafir".
(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan
perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan
orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan
kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak
hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan
persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu
mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.
Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran)
yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang
meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi
orang-orang yang (mahu) beriman.
Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan
(apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran), pada hari datangnya
apa yang telah dijanjikan dalam Al-Quran itu (pada hari kiamat kelak),
berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam
dunia) dahulu: "Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa
kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat
bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat
beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?" Sesungguhnya mereka telah
merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara
yang mereka ada-adakan dahulu.
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam
masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang
mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan)
matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya.
Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan
urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian
alam.
Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara)
perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui
batas.
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala
yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang
(kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan
(supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang
memperbaiki amalannya.
Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang
mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin
itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang
kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami
keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah
pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya
kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).
Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin
Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan
dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan
kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia:
"Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu
selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang
besar (hari kiamat)"
"(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh)
Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui
wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
"Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat
pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk
memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu
beroleh rahmat?".
Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang
bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada
melihat kebenaran)
Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: "Wahai
kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain
daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? "
Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami (wahai Hud)
nampakmu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari
orang-orang yang berdusta".
"Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat
pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk
memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu
khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu
kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan
nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya".
Mereka berkata: "Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah
Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek
kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan
kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar".
Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan
kemurkaan dari Tuhan kamu. Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai
nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya, sedang Allah tidak
sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya? Maka tunggulah
(kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang turut
menunggu bersama-sama kamu".
Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat dari
Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.
Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata:
"Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu
selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata
(mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai
keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu
mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang
menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.
"Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad,
dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu
mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat
gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah
itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi".
Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang
dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka: "Tahukah
kamu bahawa Soleh itu diutus dari Tuhannya?" Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami
beriman kepada apa yang ia diutus untuk menyampaikannya".
Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah
Tuhan mereka, sambil berkata: "Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah
janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh
Allah)".
Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: "Wahai kaumku! Aku telah
menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada
kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat".
Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya:
"Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh
seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan
meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas".
Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi
Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya
mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri".
Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia
berkata: "Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi
kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang
nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan
janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang
menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah
menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih
baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.
"Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan
menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman dari melalui jalan
Allah, dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. Dan
ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu
kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berbuat
kerosakan.
"Dan jika ada segolongan dari kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah
Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak
beriman, maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukumNya di antara kita semua,
dan Dia lah jua sebaik-baik hakim".
Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata: "Sesungguhnya
kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi
pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu berpindah kepada ugama
kami". Nabi Syuaib menjawab: "Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian)
sekalipun kami tidak menyukainya?
"Sesungguhnya (bermakna) kami berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah
kepada ugama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah
harus kami berpindah kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami,
menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada
Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum
kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim".
Dan berkatalah pula Ketua-ketua yang kafir dari kaum Nabi Syuaib (kepada orang
ramai): "Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu dengan perbuatan
yang demikian menjadilah orang-orang yang rugi".
Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak
pernah mendiami negeri itu. Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah
orang-orang yang rugi.
Kemudian Nabi Syuaib meninggalkan mereka sambil berkata: "Wahai kaumku!
Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan
aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih
terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu)".
Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi
(yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan
kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk
merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).
Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan
hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya):
"Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan
(sebagaimana yang kita rasakan)". Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa)
secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang
melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan
(Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang
mereka telah usahakan.
Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada
kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?
Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman
daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka
sedang leka bermain-main?
Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk
(balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa
aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan
orang-orang yang rugi.
Adakah (yang demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang
mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana),
bahawa kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan
azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami meteraikan di atas hati mereka
sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)?
Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian dari
khabar beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada
mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata (mukjizat),
sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah
mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah meteraikan di atas hati orang-orang
yang kafir.
Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati),
dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.
Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa
ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim
(ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang
yang berbuat kerosakan.
"Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang
benar. Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata
dari Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku (ke
Palestin).
Firaun menjawab: "Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka
bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang
benar".
Mereka berkata: "Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang
hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk)
mengumpulkan (ahli-ahli sihir);
Nabi Musa menjawab: "Campakkanlah kamu (dahulu)!" Maka apabila mereka
mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata
orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan
sihir yang besar (keadaan dan caranya).
Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Campakkanlah tongkatmu!" Maka tiba-tiba
tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).